Rabu, 23 Julai 2014

Panduan Untuk Menyimpan Makanan

Panduan Untuk Menyimpan Makanan 

Jika makanan tidak disimpan dengan selamat, ia akan menjadi tempat untuk bakteria membiak dan perubahan kimia akan berlaku. Cara menyimpan makanan dengan betul adalah penting kerana :
  • Untuk memastikan makanan berada dalam keadaan yang selamat sehingga dimakan
  • Untuk mengekalkan rupa dan rasa makanan tersebut
  • Untuk kesedapan makanan tersebut
  • Untuk mengekalkan khasiat makanan tersebut
Makanan perlu disimpan pada suhu yang betul, persekitaran yang bersih dan
dimakan sebelum tarikh luput.
Fakta penting
  • Menyimpan dengan betul akan membantu untuk meminimakan makanan menjadi basi, tercemar dan membazir.
  • Makanan yang telah dimasak boleh menjadi tercemar walaupun bercampur dengan sedikit sahaja bahan mentah.
  • Menyimpan dalam peti sejuk adalah cara yang mudah dan selamat untuk menyimpan makanan untuk tempoh yang singkat.
  • Jangan basuh sayur-sayuran hijau sebelum disimpan di dalam peti sejuk.
  • Simpan mentega atau marjerin berasingan dari ikan dan buah-buahan kerana ia boleh berubah dengan bau tersebut.
  • Jangan bekukan kembali makanan selepas dinyahbekukan.
  • Simpan telur dan makanan yang berasaskan telur berasingan dari bawang kerana ia boleh berubah dengan bau bawang.
  • Makanan untuk bayi mesti segar dan buang lebihan makanan tersebut (ia tidak sepatutnya disimpan langsung).
  • Baca label pada pembungkus/bekas makanan untuk cara menyimpan sebelum dan selepas membukanya.
Bagaimana untuk menyimpan makanan dengan betul?
Ada beberapa cara untuk menyimpan makanan:
  • Penyejukan
  • Pembekuan
  • Penyimpanan pada suhu bilik
Cara untuk menyimpan makanan bergantung kepada jenis makanan.
Bagaimana cara menyimpan makanan di dalam peti sejuk?
Peraturan untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk:
Anda perlu :
  • Simpan semua makanan yang telah dimasak di dalam bekas yang bertutup, beg plastik yang bertutup, di bungkus dengan plastik nipis atau kertas aluminium. (Kenapa? Ini akan mengurangkan pengeringan, pencemaran, perubahan bau dan tumpah)
  • Simpan makanan yang telah dimasak di bahagian atas dan bahagian yang berbeza dengan yang mentah (Kenapa? Bahan mentah seperti daging mentah dan sayur-sayuran biasanya mengandungi bakteria yang merbahaya yang boleh mencemar makanan yang telah dimasak dan menyebabkan keracunan dan basi)
  • Simpan bahan mentah yang mungkin akan tumpah di dalam bekas. Letakkan di bahagian bawah peti sejuk (Kenapa?Tumpahan dari bahan mentah boleh mencemar makanan yang telah dimasak)
  • Simpan telur dan makanan yang berasaskan telur di bahagian yang lebih sejuk (Kenapa? Ini adalah kerana suhu yang lebih rendah melembapkan pembiakan bakteria)
  • Bungkus sayur-sayuran dengan bekas plastik yang berlubang (Kenapa?Ini akan mengurangkan kehilangan air dan untuk peredaran udara)
  • Letak sayur-sayuran dan buah-buahan di bahagian bawah peti sejuk (Kenapa? Untuk mengelakkan ianya rosak oleh pembekuan)
Anda jangan :
  • Menyimpan makanan dalam tin yang telah dibuka dalam peti sejuk. Pindahkan makanan tersebut ke dalam bekas plastik atau kaca sebelum disimpan ke dalam peti sejuk (Kenapa? Jika disimpan dalam tin yang asal, kandungannya akan bertindak balas dengan logam tin tersebut apabila terdedah ke udara)
  • Simpan makanan yang panas ke dalam peti sejuk (Kenapa? Makanan yang panas perlu disejukkan dulu sebelum disimpan untuk menghalang pertambahan kelembapan dan mengekalkan suhu di dalam peti sejuk)
  • Padatkan rak-rak di dalam peti sejuk (Kenapa? Ini adalah untuk membolehkan udara yang sejuk beredar dengan baik di dalam peti sejuk)
  • Menyimpan daging, ikan dan ayam/ itik di dalam peti sejuk lebih dari 3 hari (Kenapa? Kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan tersebut akan menggalakkan pembiakan bakteria dan menjadi busuk)
  • Menyimpan makanan atau lebihan makanan lebih dari 5 hari
Apakah yang dikatakan menyimpan beku?
Menyimpan pada suhu yang mengekalkan makanan dalam keadaan beku. Makanan yang disimpan dalam bahagian beku boleh disimpan untuk tempoh yang lebih lama.
Peraturan untuk menyimpan makanan di bahagian beku:
Anda perlu :
  • Simpan daging, ayam dan ikan dalam bekas , beg plastik yang kedap udara atau dibungkus dengan pembungkus polyethylene. (Kenapa? Untuk menghalang kehilangan kelembapan dan untuk mengelakkan pencemaran bahan makanan lain dengan baunya)
  • Potong daging dan ayam kepada bahagian yang lebih kecil (Kenapa? Bahagian yang lebih kecil akan lebih mudah dibekukan dalam masa yang singkat)
  • Bungkus makanan dengan lapisan plastik atau beg beku sebelum disimpan ke dalam bahagian beku peti sejuk
  • Basuh daging, ikan dan ayam dengan sempurna sebelum disimpan di dalam peti beku
Anda jangan :
  • Menyimpan buah-buahan atau sayur-sayuran di dalam bekas beku (Kenapa? Suhu pada tahap beku akan merosakkan tisu buah-buahan dan sayuran)
  • Masukkan ramuan ke dalam ayam sebelum disimpan. Masukkan ramuan hanya apabila ingin dimasak. (kenapa? Peti sejuk di rumah tidak cukup sejuk untuk membekukan daging ayam/ itik yang disumbat itu dalam masa yang singkat)
  • Menyimpan padat bahagian beku peti sejuk anda.. (Kenapa? Untuk membenarkan udara sejuk mengalir)
  • Membekukan makanan dalam tin. (Kenapa? Pada tahap beku kandungan dalam tin itu akan mengembang dan keadaan ini akan merosakkan tin tersebut dan menyebabkan ia tumpah)
Bagaimana untuk menyimpan pada suhu bilik?
Cara untuk menyimpan makanan pada suhu bilik
Anda mesti :
  • Menyimpan makanan kering seperti tepung, gula, beras dan serbuk teh di dalam bekas yang bertutup rapat. (Kenapa? Untuk menghalang pencemaran oleh serangga dan tikus)
  • Simpan makanan dalam tin di tempat yang sejuk
  • Simpan sayuran seperti ubi kentang dan bawang di tempat yang sejuk dan kering, jauh dari sinaran langsung matahari untuk menghalang makanan tersebut dari bercambah
  • Simpan susu yang telah dinyahkuman atau UHT di tempat sejuk. Simpan di dalam peti sejuk apabila telah dibuka dan habiskan dalam masa seminggu.
  • Simpan roti pada suhu bilik di dalam bekas yang bersih, kering dan berangin.
  • Simpan tepung dalam bekas asalnya di tempat yang sejuk, kering dan berangin. Jangan campur tepung yang lama dengan yang baru
  • Simpan buah-buahan yang belum masak seperti pisang pada suhu bilik
  • Jauhkan makanan dari dinding dan paip-paip bagi mengelakkan dicemari oleh tikus dan serangga.
  • Pastikan kabinet untuk menyimpan makanan bersih, kering dan berangin
Anda jangan :
  • Menyimpan makanan bersama-sama dengan bahan kimia, ubat-ubatan dan racun seperti racun serangga, racun rumpai, racun tikus, peluntur dan sabun
  • Biarkan makanan yang telah dimasak terhidang lebih dari 4 jam pada suhu bilik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan