Ahad, 9 Mac 2014

Sakit Pinggang


BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.
Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.



 
Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.
Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.


Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.


Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.

Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.

Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.

Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.

Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi - terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.

Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.

Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.

“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.

“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:


  • Obesiti
  • Merokok
  • Tekanan
  • Keadaan fizikal tidak elok
  • Postur badan yang salah
  • Posisi tidur tidak elok
  • Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur
    Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

    Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur.

    Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

    Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).

    Diagnosis dan rawatan
    Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

    Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

    “Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.

    “Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.

    “Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

    Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

    “Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.

    Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

    Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

    Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

    Pencegahan
    Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:

  • Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.
    Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.

    Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.

  • Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.
    Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.

  • Amalkan prinsip ergonomik - sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.
    “Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.

  • Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.
  • Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.
  • Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.
    Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang - semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.

    Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan
  • Khamis, 6 Mac 2014

    Sudut Petua

     

    Petua Kesihatan

    Cara Menangani Masaalah Tapak kaki datar atau sama...
    Mengetahui keadaan kesihatan melalui dari Warna ku...

    Mengelak Rambut Gugur

    Petua Kulit (Skin tips)

    Sakit Pinggang

    Kulit dan penjagaan  

    Khasiat Air Liur

    Tips mempertajam daya ingat

    Tips mempertajam daya ingat

    Petua Kesihatan

     Petua, Sakit gigi ,Kesihatan, Kesihatan Mata     

     Menghilangkan urat dibetis

     Awet muda

    Najis sebenarnye boleh memberi ‘clue’ tentang taha...

    Tahap kesihatan melalui warna air kencing ( Urine)...

     Tips Menghapuskan Cicak di Rumah

    Petua (Tips)



          klik ditajuk

     

    Petua Hilangkan Kedut di Wajah


    Dapat sebatang lobak merah, satu sudu besar tepung jagung dan sebiji kuning telur. Parut lobak satukan bersama tepung jagung dan kuning telur. Gaul hingga mesra dan sapukan pada keseluruhan wajah dan leher sebagai masker. Biarkan sehingga kering anggarn selama 20 minit. Kemudian bilas bersih dengan air suam. Amalkan selalu, insyaAllah berkesan.

    Petua Mengurangkan Tanda-tanda Kedut Di Wajah



    Amalkan petua tradisional ini untuk melambatkan proses kedut pada kulit wajah.

    Sediakan sebatang lobak merah, sebiji kuning telur dan sesudu tepung jagung. Parut lobak merah dan satukan dengan kuning telur dan tepung jagung. Kacau hingga mesra. Lumur adunan ini pada seluruh wajah. Biarkan hingga kering dan kemudian bilas dengan air suam. Amalkan selalu.

    Petua Awet Muda - Air Suam


    Amalkan minum air suam setiap pagi selepas bangun dari tidur sebelum mengambil sarapan. Mudah sahaja tapi mujarab. Disamping itu, luangkan masa anggaran selama 4 minit sehari untuk amalkan urutan ini:

    Gunakan sentuhan yang ringan dengan lembut. Gunakan hanya bahagian jari. Buat dalam gerakan dari bawah ke atas dan dibawa ke luar wajah. Urutan ini perlu disusuli dengan meminum air suam selepasnya. Bagi umat Islam, bacalah bismillah dan selawat 3 kali sebelum minum.

     
     




    Petua Merawat Buasir – Kulit Manggis




     
     Basuh kulit manggis dan jemur hingga kering. Rebuskan dengan 5 cawan air sehingga menjadi 1 cawan. Minum air rebusan tersebut setelah suam. Amalkan 
    selalu.

    Petua Hitamkan Rambut Beruban Dengan Daun Kari





    Anda mengalami masalah rambut beruban?
    Uban tumbuh atas faktor usia, tapi ada juga orang muda yang beruban mungkin kerana akar rambut sakit.

    Untuk menghitamkan rambut berubat, cubalah petua menggunakan daun kari ini.

    Petua Hitamkan Rambut Beruban Dengan Daun Kari:

    1) Campurkan 1 sudu minyak kelapa dengan segenggam daun kari.
    2) Masak atas api sederhana sehingga daun kari hangus.
    3) Tutup api dan biarkan sejuk pada suhu bilik.
    4) Gunakan minyak ini sebagai minyak rambut. Amalkan selalu.


    Petua Luruskan Rambut - Tepung gandum & Telur


    Sediakan 2 biji telur dan sedikit tepung gandum. Bancuhkan kedua-duanya membentuk paste. Lembabkan rambut dengan air bersih dan lumurkan bancuhan tadi pada keseluruhan rambut. Sikat rambut menjadi lurus dan biarkan selama setengah jam. Kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan 2 kali seminggu.

    Petua Melebatkan Rambut


    Apa yang anda perlukan untuk melebatkan rambut ialah pati santan dari sebiji kelapa. Pati santan kelapa adalah bahan penting dalam usaha untuk melebatkan rambut secara tradisional.

    Untuk mendapatkan pati santan, ambil kelapa parut dari sebiji kelapa tua. Masukkan sedikit air suam pada kelapa parut tadi dan ramas-ramaskan. Perah pati santan dari kelapa parut tersebut dan buang hampasnya.

    Basahkan rambut anda dahulu dan lumurkan pati santan ke kesluruhan kepala sehingga ke akar rambut. Bungkus kepala dengan tuala bersih dan kering selama setengah jam. Kemudian bilas keseluruhan kepala anda dengan air suam.

    Amalkan petua ini 2-3 kali seminggu.

    Untuk mengekalkan rambut lebat dan elak dari gugur, amalkan tips ini:

    - Pilih syampu rambut yang sesuai dengan jenis rambut anda.
    - Gunakan sikat rambut bergigi jarang.
    - Pastikan rambut anda benar-benar kering sebelum memakai sebarang produk tambahan seperti krim rambut atau gel. Sama juga untuk wanita bertusung, pastikan rambut benar-benar kering sebelum memamakai tudung.

    Petua Menyembuhkan Kulit Kurap


    Kulit kurap membuat seseorang berasa tidak selesa dan malu. Jika menghadapi masalah kulit ini, cubalah mana-mana petua di bawah ini.

    1) Tumbuk sayur bayam hingga lumat dan campurkan dengan sedikit kapur sirih. Sapukan pada bahagian kulit yang berkurap. Biarkan sehingga kering. Amalkan setiap hari.

    2) Dapatkan santan pekat dari sebiji kelapa tua. Ambil beberapa helai daun kangkung dan tumbuk hingga lumat. Gaul santan bersama kangkung dan sapukan pada bahagian kulit yang berkurap. Biarkan sehingga kering. Amalkan setiap hari.

    3) Ambil seketul kunyit hidup dan ketuk dengan pisau. Sapukan bahagian kuning kunyit pada kulit yang berkurap sebelum tidur. Amalkan setiap malam.

    4) Dapatkan 10 cawan daun jambu yang telah dicincang. Masukkan ke dalam periuk bersama 2 liter air. Rebus selama 15 minit. Tapis air rebusan dan tambahkan dengan air biasa secukupnya untuk dibuat mandi. Amalkan setiap hari.

    5) Ambil beberapa helai daun peria dan basuh. Ramas dan gosokkan pada bahagian kulit yang berkurap. Amalkan selalu. 

    Petua Merawat Selesema


    Selesema membuatkan kita rasa tidak selesa. Jika anda menghidapi selesama, cubalah mana-mana petua di bawah ini untuk mengatasi merawat selesema.

    1) Calit sedikit kapur sirih dan dua titik minyak kayu putih pada sehiris limau nipis. Panggang di atas api hingga panas dan kemudian perah airnya. Minum air perahan ini sekali sehari.

    2) Hidu bau halia hidup yang telah dibersihkan.

    3) Ambil secawan air didihan beras. Minum ketika suam. Amalkan selalu.

    4) Jika selesema akibat cuaca hujan atau panas terik, basahkan ubun-ubun kepala. Ulang beberapa kali.